Monday, April 18, 2011

Separuh Warga Kota Miskin?

Tertarik aku bila baca tajuk ni dalam suratkhabar Utusan Malaysia hari ni. Menurut perangkaan, gaji di bawah RM3000.00 dah dikategorikan sebagai golongan 'miskin' dah di bandar. Ada betoinya. Dengan situasi persekitaran ekonomi sekarang dan keadaan harga barang yang sangat-sangat 'melambung' cerita ini bukanlah cerita dongengan semata-mata. Untuk nak tahu apa cerita sebenar, korang bacalah artikel yang aku attachkan kat bawah ni....


KUALA LUMPUR - Jika melihat kepada jumlah pengunjung pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa separuh daripada mereka sebenarnya tergolong sebagai 'miskin'. Walaupun rata-rata pengunjung memakai barangan berjenama, namun percaya atau tidak, kebanyakan mereka tidak mempunyai wang. Untuk berbelanja, golongan ini terpaksa bergantung kepada kad kredit.

Jika miskin desa membabitkan golongan yang tiada pekerjaan tetap, 'miskin' bandar pula lebih banyak membabitkan golongan berpendapatan pertengahan tetapi menanggung hutang. Mereka tinggal di rumah batu, mempunyai kereta, motosikal selain pekerjaan tetap dengan gaji sekitar RM3,000 sebulan. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, taburan peratus isi rumah mengikut kelas pendapatan Malaysia menunjukkan 43.1 peratus atau kira-kira 7.9 juta daripada 18.47 juta penduduk yang tinggal di bandar berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Dengan gaji sebanyak itu, banyak kos terpaksa ditanggung antaranya hutang kad kredit, ansuran pinjaman peribadi, pinjaman kereta, sewa rumah, bil elektrik, air dan telefon, tol, meletak kenderaan, cukai pendapatan selain perbelanjaan anak-anak. Menurut Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha'ani Abdullah, penggunaan kad kredit kini melebihi 10 juta dan daripada jumlah tersebut lebih 70 peratus pemiliknya adalah penduduk bandar.

Hasil temu bual Utusan Malaysia dengan beberapa warga kota mendapati, gaji bulanan mereka sering tidak mencukupi untuk menampung kos hidup bagi sebuah keluarga. Kenaikan harga barang keperluan asas turut menghimpit kehidupan. Golongan ini yang mahu mencari wang dengan cara mudah bagi menampung keperluan hidup di kota dipercayai antara yang paling ramai tertipu dengan skim- skim cepat kaya.

Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussein Baharuddin berpendapat, satu kajian terperinci perlu dilakukan segera bagi mencari jawapan sebenar kepada masalah 'miskin' di bandar yang masih dipandang sepi ini.

"Boleh dikatakan semua barang mengalami kenaikan harga yang semakin menghimpit kewangan golongan pertengahan."

"Namun takrif miskin bandar yang dikeluarkan oleh kerajaan masih jauh daripada realiti sebenar kehidupan dan ia perlu dikaji secara konsisten mengikut keadaan ekonomi semasa agar segala masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Menurut Amir Hussein, kenaikan pelbagai harga barangan keperluan lebih memberi kesan kepada golongan berpendapatan sederhana dan bawah.

"Sebab itu satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi membela nasib golongan berpendapatan pertengahan kerana mereka ini semakin terhimpit dengan desakan peningkatan kos sara diri yang terlalu membebankan," katanya.

Golongan pertengahan di Malaysia masih lagi mampu mengharungi kehidupan walaupun cabaran hidup kian getir kebelakangan ini



Kepada pihak yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpendapatan tinggi suatu hari nanti, memang satu pencapaian yang amat dinanti-nantikan. Bagi aku biarlah semua 'kekayaan' itu diagihkan sama rata untuk semua rakyat. Jangan hanya 'kroni-kroni' sahaja yang 'kenyang' tapi 'suara' kelaparan. Oleh itu sesuatu perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menangani isu ini. Jangan dibiarkan perkara yang berlaku di Timur Tengah terjadi di negara kita. Itulah sebab jika terjadinya keadaan 'rakyat dibiarkan menderita'.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...