Monday, April 4, 2011

Banjir Kembali Melanda

Dah hampir seminggu aku tak update entri dalam blog aku. Bukan aku tak sempat atau apanya, cuma aku letih sebab rumah aku dilanda banjir baru-baru ini. Hujan lebat luar biasa yang melanda Perlis adalah punca berlakunya banjir di sebahagian kawasan utara Negeri Perlis termasuklah ibu negerinya iaitu Kangar. Selain itu, faktor banjir dari Selatan Thai juga adalah penyumbang kepada banjir yang tidak sepatutnya berlaku di musim kemarau seperti kebiasaannya. Mungkin ini adalah takdir yang harus diterima oleh mereka-mereka yang terlibat dan juga mungkin ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.

Empat bulan baru berlalu, kali terakhir banjir belaku di Perlis adalah pada 2 November 2010. Tapi akhirnya malapetaka yang tidak diundang ini hadir lagi dan memberikan musibah kepada mereka yang terlibat. Kawasan-kawasan seperti Padang Melangit, Abi, Behor Empiang, Kurong Batang, Kampung Pondok, Kampung Bakau dan lain-lain lagi menyaksikan musibah yang ditakdirkan oleh Allah SWT hadir merosakkan harta benda, mujurlah kali ini tiada nyawa yang terbang akibat dari banjir yang melanda. Kampung Bakau adalah antara kawasan yang terawal menerima musibah ini.


Pintu air Empangan Timah Tasoh terpaksa dibuka

Penanda aras air berhampiran kawasan pintu air Empangan Timah Tasoh
Akibat kebimbangan berlakunya banjir, sehari sebelum kawasan tempat tinggal aku dinaiki air, aku telah melakukan tinjauan sendiri berhampiran Empangan Timah Tasoh. Tujuan aku adalah untuk mengetahui situasi sebenar keadaan di kawasan pintu empangan tersebut. Kebiasaannya, apabila pintu empangan dibuka sepenuhnya menandakan kapasiti takungan air di dalam empangan tersebut adalah melebihi paras biasa. Apa yang aku jangkakan sememangnya betul-betul terjadi. Pintu empangan dibuka kesemuanya. Air menderu mengalir turun ke kawasan bawah.

Salah satu kunci air di Padang Melangit telah ditenggelami air
Pemantauan aku tidak berakhir di situ. Setelah aku pulang ke rumah dan sejurus selepas solat Asar, aku kembali meronda di dalam renyai-renyai hujan. Menyusuri ke kawasan-kawasan yang selalu dinaiki air di dalam kawasan Bandar Kangar. Antaranya ialah kawasan Repoh, Jalan Padang Behor (jambatan selepas Taman Fauziah) dan Kampung Bakau. Tanda-tanda positif untuk berlakunya banjir memang jelas kelihatan di kawasan-kawasan tersebut.

Tebing Sungai Repoh berhampiran Taman Fauziah telah dilimpahi air

Salah sebuah rumah kediaman ditenggelami air di Kampung Bakau

Keadaan air banjir sedalam satu meter telah menenggelamkan Kampung Bakau

Air Sungai Perlis telah melebihi paras berjaga-jaga

Selain Kampung Bakau, kawasan-kawasan yang berhampirannya seperti Kampung Tok Paduka, Taman Ira dan rumah-rumah kediaman yang terletak sejajar dengan Jalan Kampung Bakau juga telah mula ditenggelami dengan air yang mula mengalir masuk dari limpahan air Sungai Perlis yang telah penuh. Menurut seorang individu yang begitu mahir dengan aliran air di Negeri Perlis ini memberitahu aku, sekiranya air dari pintu Empangan Timah Tasoh dibuka, hanya 6 jam sahaja diperlukan untuk air tersebut sampai ke Bandar Kangar dan menenggelamkannya. Fuhhh! Begitu cepat sekali aliran air itu sampai.


Rumah salah seorang penduduk berhampiran Jalan Kampung Bakau telah ditenggelami air

Keadaan air pada titi Kampung Tok Paduka

Limpahan air dari sungai di kawasan Kampung Tok Paduka

Pemantauan aku diteruskan lagi. Kali ini aku menyusuri lorong berhampiran Sungai Repoh menghala ke Kampung Tanjung Gorah. Walaupun keadaan agak kritikal, tetapi suasana dipersisiran sungai tersebut agak meriah dengan aktiviti-aktiviti menjaring ikan dan juga bermain air oleh penduduk tempatan. Selain itu, mereka juga tidak menghiraukan keadaan arus sungai yang begitu deras pada ketika itu. Ataupun mungkin penduduk tempatan di kawasan tersebut sudah biasa dengan keadaan tersebut. Apa yang sempat aku perhatikan, terdapat beberapa orang memperolehi hasil tangkapan ikan yang lumayan hasil daripada aktiviti menjala dan memukat yang dilakukan oleh mereka.


Keadaan Sungai Repoh arah ke Kampung Tanjung Gorah

Paras air Sungai Repoh begitu hampir dengan kawasan perumahan berdekatan

Keadaan arus Sungai Repoh yang deras begitu membahayakan
Setelah menyusuri lorong kecil di sepanjang Sungai Repoh, aku melintasi Jalan Kangar Arau menuju ke Bulatan Jubli Emas. Keadaan di sekitar kawasan tersebut juga semakin kritikal dan tanda-tanda air akan terus naik begitu jelas kelihatan. Stesen minyak Esso di Jalan Kangar Arau juga telah ditenggelami air sedalam lebih kurang 1 meter dan tidak ketinggalan juga kawasan komersial di Taman Sena Indah turut dinaiki air dan ditutup untuk aktiviti perniagaan.


Stesen minyak Esso Repoh ditenggelami air sedalam satu meter

Kenderaan terperangkap terpaksa ditunda keluar oleh trak penunda
Aku juga berkesempatan meninjau keadaan banjir di sekitar kawasan Jalan Sekolah Derma. Air banjir dihadapan Sekolah Menengah Teknik Kangar juga telah dinaiki sedalam lebih kurang 0.5 meter. Pada ketika itu, aku masih dapat melihat terdapat beberapa buah kenderaan ringan masih cuba untuk mengharungi jalan tersebut walaupun arus air yang menyusuri begitu deras.


Keadaan banjir di persimpangan lampu isyarat Jalan Sekolah Derma
Kawasan Taman Bukit Kayangan juga adalah antara lokasi tinjauan aku. Kawasan Taman Bukit Kayangan ini pada kejadian banjir yang lepas telah menyebabkan banyak kerosakan pada kenderaan disebabkan terperangkap di kawasan lembah yang terdapat di jalan masuk ke taman tersebut. Tapi hakikatnya, tahap air bolehlah dilihat pada gambar yang sempat aku inter framekan di bawah.


Keadaan papan tanda di kawasan Taman Bukit Kayangan yang ditenggelami air

Kawasan perumahan di Taman Bukit Kayangan yang ditenggelami air

Aktiviti ekonomi di sekitar Jalan Kaki Bukit juga terganggu akibat banjir yang melanda. Jalan Kaki Bukit merupakan kawasan kritikal sekiranya berlaku banjir di kawasan Bandar Kangar. Ini kerana sekiranya berlaku banjir, kawasan ini akan ditenggelami air begitu dalam sekali dan kenderaan-kenderaan ringan tidak dapat melalui jalan tersebut.


Ceri Corner turut ditenggelami air

Shell Jalan Kaki Bukit dinaiki air

Petronas Jalan Kaki Bukit juga turut dinaiki air

Pasaraya Seri Utama terpaksa ditutup akibat ditenggelami air

Ketika banjir melanda, aku tertarik pada satu aktiviti yang sering kali dilihat. Aktiviti meredah air menggunakan motosikal secara berkumpulan. Apa yang membuatkan aku tertarik adalah pengubahsuaian pada sistem ekzos motosikal yang digunakan. Jika dahulunya aku jarang melihat ke'kreatif'an mat-mat motor ni, tapi sekarang ia telah menjadi budaya yang harus dilakukan oleh kumpulan mat-mat motor tersebut.


Stail ekzos cungit yang tidak memberikan air masuk ke dalam enjin melalui ekzos

Akhir sekali, kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir diharap TABAHlah menghadapi DUGAAN dariNya. Segala yang berlaku ada HIKMAH di sebaliknya. Sebagai insan yang bertakwa kita harus bersyukur dengan ketentuan ILLAHI. Kepada pihak yang BERWAJIB sesuatu HARUS dilakukan bagi mengoptimakan kekerapan banjir yang berlaku akibat KECUAIAN manusia sendiri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...