Sunday, May 15, 2011

Manchester United Melakar Sejarah Baru BPL


Kejuaraan Liga Perdana Inggeris (BPL) telah hampir melabuhkan tirainya dengan hanya berbaki satu perlawanan bagi setiap pasukan yang bertanding. Manchester United telah dinobatkan sebagai juara untuk musim 2010/2011 ini dengan merampasnya kembali daripada genggaman pasukan Chelsea dan sekaligus memadam rekod 18 kali kejuaraan yang dicatatkan oleh pasukan Liverpool. Ini merupakan kejuaraan ke 19 untuk United, pasukan dari Utara England ini dan merupakan kejuaraan ke 12 sepanjang Liga Perdana Inggeris mula diperkenalkan sejak tahun 1992. 

Saat-saat kejuaraan adalah milik United
Pertemuan dengan Blackburn Rovers, United hanya memerlukan satu mata bagi menjamin kejayaan mutlak sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim 2010/2011 ini. Walaubagaimanapun, United ketinggalan pada babak pertama hasil jaringan Emerton pada minit ke 20. United yang dikenali sebagai sebuah pasukan yang tidak pernah berputus asa telah menggandakan asakan pada separuh masa kedua perlawanan. Satu mata yang dicari merupakan misi yang amat penting oleh anak-anak buah Alex Ferguson dan harus dilaksanakan sebaik mungkin di Ewood Park sebelum mereka boleh berpesta di Old Trafford. Hasilnya, United telah dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang prolifik Manchester United iaitu Javier Hernandez dijatuhkan oleh penjaga gol Blackburn Rovers, Paul Robinson di dalam kotak penalti. Wayne Rooney dengan tenang merembat ke sebelah kanan Paul Robinson bagi menewaskannya untuk kedudukan 1-1. Kedudukan tersebut terus kekal hingga ke wisel penamat dan United memastikan satu mata berharga yang menobatkan mereka sebagai juara dapat di bawa pulang.

Dengan hanya bertemu dengan Blackpool pada perlawanan terakhir mereka di Old Trafford, apa jua keputusan yang berlaku telah memastikan United bakal menjulang trofi kejuaraan liga perdana yang ke 19 mereka di hadapan penyokong-penyokong sendiri. Setelah sah bergelar juara liga perdana untuk musim ini, United boleh memberi fokus terhadap perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona pada 28 Mei 2011 di Wembley. Glory...glory...man united!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...