Monday, December 27, 2010

Malaysia : Tanah Tumpah Darahku

Semalam, buat pertama kalinya aku menyaksikan permainan pasukan Malaysia begitu mantap sekali selepas era emas Malaysia dipertengahan tahun 80 an dan awal 90 an. Beraksi di pentas final pertama di Kejohanan Piala Suzuki AFF 2010, pasukan Indonesia dilihat bukanlah lawan kepada Skuad Kebangsaan kita. Disuntik dengan formula rahsia 'King' Gobal, Skuad Kebangsaan dilihat begitu bertenaga terutamanya pada separuh masa kedua.

Pasukan Indonesia dilihat tergapai-gapai di dalam menahan asakan bertali arus dari Skuad Kebangsaan yang dijana oleh bahagian tengah (midfield) Skuad Kebangsaan kita. Diketuai oleh Jeneral yang berasal dari Perlis iaitu Amar Rohidan banyak menjana hantaran-hantaran cantik ke bahagian serangan sambil di bantu oleh watak-watak penting lain seperti Nor Shahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.
Saat gemilang Skuad Kebangsaan bermula pada minit 59, apabila Nor Shahrul Idlan Talaha bijak membawa bola secara solo melepasi kawalan pemain pertahanan Indonesia iaitu Maman Abdulrahman dan melorongkannya kepada Safee Sali untuk merembat masuk gol pertama Malaysia.

Pada minit ke 69 pula menyaksikan, Skuad Kebangsaan semakin selesa di hadapan dengan jaringan cantik hasil rembatan Ashari yang masuk menggantikan Mohd Amirulhadi Zainal selepas menerima umpanan cantik dari Norshahrul Idlan Talaha untuk menewaskan penjaga gol pasukan Indonesia.
Sekali lagi pada minit 71, penyokong-penyokong Malaysia yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bersorak gembira apabila meraikan gol ketiga Skuad Kebangsaan melalui tandukan deras Safee Sali yang menerima hantaran lintang cantik dari S.Kunalan dari sebelah kanan untuk menewaskan Markus Harison Rihihina untuk kali ketiga.

Dengan kemenangan 3-0 pada final pertama semalam, telah meletakkan Skuad Kebangsaan sebelah kaki untuk menjulang Piala Suzuki buat kali pertama. Pertemuan final kedua akan berlangsung 29 Disember 2010 di Gelora Bung Karno.

Skuad Kebangsaan yang mengembalikan nostalgia Era Emas Skuad Harimau Malaya

Ayuh rakyat Malaysia, teruskan usaha kita menyokong pasukan kebangsaan kita

Apa yang menarik perhatian aku semalam, dan membuatkan hati aku terdetik di Stadium Nasional Bukit Jalil ialah sebuah kain rentang gergasi yang tertulis "TANAH TUMPAH DARAHKU". Aku merasakan ia merupakan ayat-ayat keramat kepada pemain-pemain Skuad Kebangsaan kita yang menghayati maksud perkataan tersebut. Aku sebagai supporters juga merasakan aura ayat-ayat tersebut di pelusuk sanubari aku. Ayat yang memberikan 1001 makna itu telah meningkatkan semangat pemain-pemain kita untuk berjuang hingga ke minit-minit terakhir perlawanan. Aku rasa kain rentang tersebut perlu di bawa merentasi Nusantara untuk di gantung di Gelora Bung Karno pada 29 Disember nanti. 

Ayat-ayat keramat yang menaikkan semangat juang pemain Skuad Kebangsaan

Banner inilah aku maksudkan
 Dari pembacaan aku dalam laman blog IJAM : Dari Bukit Jalil ke Mehraj, dari Malaysia ke Anfield, banner tersebut dimiliki oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ULTRAS MALAYA. Kewujudan kumpulan penyokong setia Skuad Kebangsaan ini telah lama wujud sejak dari tahun 1980 an lagi. Ciri-ciri untuk menjadi seorang ULTRAS adalah seperti yang berikut :-

1. PAKAIAN: Sentiasa memakai pakaian yang berindentitikan MALAYSIA apabila ke stadium. Memakai jersey MALAYSIA, kalau tiada jersey Malaysia bolehlah memakai pakaian yang berwarna hitam (Hitam sinonim dengan pergerakkan ULTRAS), kalau tiada kedua-dua di atas, bolehlah memakai jersey pasukan negeri masing-masing. DiHARAMKAN sama sekali untuk memakai jersey pasukan/kelab LUAR NEGARA. Ingat kita datang sebagai rakyat MALAYSIA bukan rakyat England ker? Rakyat Spain, Rakyat Jepun ker? Rakyat Brazil etc

2. MUFFLER: Sila bawa Muffler. Muffler merupakan ciri-ciri penting seorang ULTRAS. Muffler penting untuk kita melakukan pelbagai aksi dan gaya sokongan apabila kita di stadium kelak.


3. BENDERA: Bendera Malaysia juga salah satu elemen penting.


4. KASUT: Sila pakai kasut. Benda ini wajib untuk sebagai imej penyokong yang yang berpakaian kemas dan cantik atau faktor kesemalatan juga. NO SELIPAR dan SANDALS.


5. BERDIRI: sebagai seorang ULTRAS, mereka perlu berdiri sepanjang 90 minit perlawanan. Ini adalah cara sokongan semua ULTRAS di seluruh dunia.

6. MENYANYI: Kita perlu menyanyi tanpa henti sepanjang 90 minit perlawanan berlansung tanpa dipengaruhi apa jua keputusan. ULTRAS menyanyi berpandukan Chants/Lagu yang diarahkan dan diketuai oleh Capo ULTRAS.


7. PATUHI ARAHAN KETUA: Di stadium, ULTRAS sentiasa patuh pada arahan CAPO. CAPO ini yang akan bertindak selaku ketua untuk memberikan arahan dan gaya bentuk sokongan kepada pasukan. CAPO jugalah akan mengetuai nyanyian Chants/Lagu


8. CURVA: Apabila berada di dalam stadium, ULTRAS akan memilih untuk duduk dikawasan berhampiran belakang sisi pintu gol, dinamakan CURVA. CURVA inilah tempat yang paling sesuai dan selamat untuk menjalankan aktiviti ULTRAS yang aggresif. Curva jauh daripada penonton biasa, golongann keluarga dan kanak-kanak.


9. DILARANG MEMBALING OBJECT: Sila menjadi penyokong yang berdisplin. Jaga tingkah laku anda. Jaga imej penyokong ULTRAS. Jangan sesekali cuba membaling object ke dalam balapan, longkang mahupun padang. Tingkah laku ini hanya dilakukan oleh PENYOKONG BODOH lagi tak BERTAMADUN. Mereka ini semua adalah LALANG di stadium, sila jauhi sikap buruk ini. Jikalau anda gagal mematuhi, kami tidak sesekali teragak-agak untuk menangkap dan menghantar anda kepada pihak bertanggunjawab.


10. EMOSI: Sebagai seorang yang berjiwa ULTRAS paling penting untuk menjaga emosi! Walaupun pasukan kita bermain tidak seperti yang diharapkan mahupun keputusan yang tidak memihak kepada kita, tetapkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan walau apa jua keadaan. Nyanyian lagu-lagu semangat penting untuk menaikkan semangat juang dan moral pemain.


11. AMBIL TEMPAT: Bila duduk bersama kami sila ambil tempat masing-masing iaitu dikawasan kerusi tempat duduk penonton, bukannya bersidai di kaki lima. Tempat itu khas untuk Capor Ultras dan orang-orang kuat Ultras untuk ketuai nyanyian dan formasi pergerakkan. Kalau nak menempel kat situ, silalah pergi ke pintu lain. Bukit Jalil besar dan 100k capacity, banyak lagi ruang untuk menyemakkan diri. Tetapi bukan di situ, kami mahu pergerakkan ini tersusun rapi dan cantik.


12. FLARE & SMOKE BOMB : Penyalaan suar atau pun bom asap hanya perlu bila mendapat arahan dari ketua. Jangan memandai-mandai untuk bakar sendiri. Bila ditangkap pihak berkuasa kami tidak akan bertanggungjawab. Kalau nak bakar sendiri pergi sertai kumpulan lain dan tempat lain. Kami tidak mahu cara sokongan ini "well organized" baru orang tidak akan pandang serong. Sebab itu serahkan pada yang arif tentang bab ini.

(sumber ciri-ciri ULTRAS MALAYA aku perolehi dari http://mforum2.cari.com.my/viewthread.php?tid=520042)

Akhir sekali aku mendoakan kejayan Skuad Kebangsaan walaupun aku tidak dapat bersama di Gelora Bung Karno untuk melihat mereka menjulang Piala Suzuki buat kali pertama, semoga ULTRAS MALAYA terus memberi sokongan padu di mana juga Skuad Kebangsaan kita berjuang. Ayuh Malaysia....roaaaarrr!!!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...