Friday, March 18, 2011

Mak Lang Cendol

Tengahari tadi masa aku dok termanggu-manggu atas skuter aku, depan wad bayi baru lahir Hospital Tuanku Fauziah aku terkejut apabila secara tiba-tiba aku ditegur oleh seorang wanita yang usianya aku rasa dah mencecah separuh abad. Wanita itu bertanyakan pada aku tujuan aku termanggu-manggu di hadapan wad tersebut. Setelah aku memberikan jawapan pada soalannya barulah wanita tersebut tersenyum kepada aku sambil memasukkan beberapa bungkus cendol ke dalam beg-beg plastik yang terdapat di dalam raga plastik yang terletak di bahagian belakang motosikal cub jenis Kriss (kalau tak silap aku).

Wanita tersebut memperkenalkan dirinya dengan nama Mak Lang kepada aku. Mak Lang ni seorang penjual cendol bergerak menggunakan motosikal. Aku tertarik untuk bersembang dengan Mak Lang bagi memenuhi masa menunggu aku. Tarikan aku untuk bersembang dengan Mak Lang adalah kerana untuk pertama kalinya aku melihat wanita seperti Mak Lang ini menjalankan perniagaan cendol menggunakan motosikal seperti ala-ala Pizza Hut. Menarik-menarik.

Mak Lang ni memang mempunyai ciri-ciri peniaga yang baik. Mana taknya, sepanjang aku dok perhatikan beliau menjalankan perniagaannya, beliau begitu ramah dengan pelanggan-pelanggan yang menghampirinya dengan senyuman tidak pernah lekang dari mulutnya. Walaupun pada ketika itu aku tidak membeli cendolnya, Mak Lang masih melayan pertanyaan-pertanyaan aku tentang proses pembuatan cendol dengan baik dan mesra. Keramahan Mak Lang ini sehinggalah beliau menceritakan kepada aku tentang latar belakang keluarganya serba ringkas, sejarah perniagaannya dan pengalaman yang di alaminya sepanjang beliau berniaga. 

Ketiga-tiga anak kebanggan Mak Lang merupakan graduan daripada universiti hasil titik peluh beliau menjual cendol. Alhamdulillah mungkin itulah berkat beliau perolehi hasil daripada rezeki yang halal. Cuma Mak Lang melahirkan kebimbangan kepada anak perempuannya yang kedua, tidak mahu bekerja walaupun merupakan seorang siswazah daripada sebuah universiti tempatan. Apa pun Mak Lang tetap bersyukur, walaupun anaknya tidak berminat untuk bekerja, tetapi rezeki yang diturunkan oleh Allah s.w.t tetap ada kepada anak keduanya itu. Begitulah cerita serba ringkas Mak Lang kepada aku sebelum seorang jururawat datang kepada beliau untuk membeli cendol yang dibawa olehnya.

Dengan harga sebungkus hanya RM 2.50 dan RM 3.00, aku rasakan pembelian cendol Mak Lang merupakan sesuatau pembelian yang berbaloi. Aku melihat kualiti cendol yang dihasilkan oleh Mak Lang begitu tinggi dan tiada tandingannya. Berbaloilah Mak Lang menunggang motosikal sejauh 15 km dari Arau ke Hospital Tuanku Fauziah untuk berniaga. Mak Lang selalu berpesan kepada pelanggannya akan dibuang dahulu air cendol yang terdapat di dalam bungkusan plastik setiap kali bungkusan cendolnya terjual.

Mak Lang memberitahu aku, buat masa sekarang dia mempunyai 5 orang pekerja selain daripada dirinya. 3 orang pekerjanya ditugaskan untuk memproses cendol di rumahnya yang terletak di belakang Masjid Guar Gajah, Arau dan dua orang lagi ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pengedaran menggunakan motosikal seperti yang dilakukan olehnya. Satu perkara lagi yang menarik perhatian aku mengenai Mak Lang adalah beliau selalu melafazkan perkataan "ALHAMDULILLAH". Itu sudah cukup menggambarkan Mak Lang sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima melalui perniagaannya.

Lebih kurang 20 minit perbualan aku dengan Mak Lang, Mak Lang pun beredar bersama motosikalnya untuk menuju ke destinasi lain bagi menjual cendol-cendol yang di bawanya. Di dalam hati kecilku, aku mendoakan agar Mak Lang terus maju dalam perniagaannya yang telah diusahakan selama 21 tahun itu dan terus mengekalkan nilai-nilai murni sebagai seorang peniaga di samping berusaha meningkatkan kualiti cendolnya itu.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...