Entri aku kali ni mungkin bunyi agak lain sikit. Tapi itulah hakikatnya. Pagi tadi aku bersama Mat Imam dan Abang Mie berpeluang bertemu dengan seorang individu berketurunan Cina yang menetap di Pauh. Aku amat kagum dengan kredibiliti individu ini yang begitu mengutamakan kebersihan alam sekitar berbanding keperluan lain di dalam kehidupan hariannya.
Ah Peng, begitulah beliau membahasakan dirinya kepada aku dan rakan-rakan aku. Kami berpeluang bertemu dengan beliau bermula dengan ceritanya tentang aktiviti pembakaran terbuka yang sering kali berlaku di kawasan tempat tinggalnya. Ah Peng begitu peka sekali dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran berlaku di sekitar kawasan tempat tinggalnya, suatu sikap yang positif dan harus dipuji.
Semasa aku dan rakan-rakan aku sedang 'melepak' dan bersembang dengan beliau di dalam pondok di kawasan kediamannya yang tidak jauh dari Pekan Pauh, Ah Peng begitu bersemangat menceritakan tentang usaha-usaha yang beliau lakukan untuk memulihara alam sekitar di kawasan sekitar kediamannya. Antara usaha-usaha yang beliau jalankan ialah memelihara kawasan rizab jalan di hadapan kediamannya dengan menanam rumput-rumput khas di bahu jalan, membina longkang konkrit bagi memastikan pengairan longkang terurus baik dengan menggunakan wang sakunya sendiri serta membantu pihak berkuasa tempatan memangkas pokok-pokok jati yang ditanam pada bahu jalan oleh pihak kerajaan negeri.
Erm, bagus jugak si Ah Peng ni. Mungkin ramai yang berkata, beliau mampu melakukan usaha-usaha tersebut disebabkan beliau mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Mungkin itu juga ada kebenarannya. Tapi, apa yang menarik perhatian aku ialah kenyataan si Ah Peng ni mengatakan wang ringgit adalah bukan miliknya malahan ia adalah milik Tuhan. Seperti juga dengan alam sekitar, Ah Peng percaya alam sekitar adalah pinjaman sementara Tuhan kepada umat manusia, dan sebagai penjaga, kita harus memeliharanya sebaik mungkin. Itulah sebabnya Ah Peng begitu kurang senang kepada individu yang mencari sumber pendapatan dengan mengorbankan keindahan alam sekitar. Kerana bagi beliau, tidak perlulah untuk mengorbankan keindahan alam sekitar demi sesuap nasi.
Dasyat jugak ideologi yang dipegang oleh Ah Peng ni mengenai alam sekitar. Kalaulah semua individu di seluruh dunia ni berpendapat dan berusaha seperti Ah Peng ni, maka makmurlah dunia gamaknya. Begitulah ceritanya. Sedar tak sedar hampir satu jam setengah aku, Mat Imam dan Abang Mie berbual dengan Ah Peng sambil meninjau kawasan kediamannya yang mempunyai 'feng-shui' yang agak indah dan nyaman dengan tumbuh-tumbahan yang di tanam oleh Ah Peng.
Kepada Ah Peng, teruskanlah usaha murni anda. Mudah-mudahan usaha anda memberi manfaat kepada anda dan masyarakat setempat....
Ah Peng, ketika kami sedang melepak di pondoknya |
No comments:
Post a Comment