Cerita pasal perpindahan peniaga-peniaga di Pasar Besar ke tempat baru di Kampung Bakau merupakan hot issue kat tempat aku sekarang. Bermacam-macam khabar angin yang aku dengar pasal isu ini sehinggakan media cetak tempatan memaparkan kisah tersebut di dada-dada akhbar masing-masing.
Sebenarnya isu ni dah lama dah aku dengaq. Kalau tak silap aku sejak tiga ke empat tahun yang lalu. Apa yang aku tahu dari sumber-sumber yang boleh dipercayai, tapak Pasar Besar sekarang ni, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ada cadangan nak majukan dan nak jadikan ia sebagai arked niaga. Pada pandangan aku, itu merupakan satu langkah yang bagus dalam penyediaan infrastruktur yang lebih baik.
Tapi di sebelah pihak lagi, aku juga berpeluang untuk mendengar keluhan mereka. Alasan yang menyebabkan peniaga tidak mahu berpindah adalah faktor kawasan baru tersebut. Katanya, kawasan baru tersebut adalah berdekatan dengan Pasar Borong. Jadi mengapa perlu ada dua buah pasar di kawasan yang terlalu dekat. Kalau tak silap aku jarak di antara dua pasar tersebut cuma lebih kurang 500 ke 600 meter. Selain itu, kawasan perniagaan untuk peniaga pelbagai juadah (kueh, nasi kandar, roti canai dan lain-lain) adalah terlalu kecil.
Terdapat sesetengah dakwaan mengatakan, pihak PBT hanya menetapkan sebuah kedai hanya boleh menyediakan empat buah meja makan sahaja berbanding sekarang yang boleh menampung sehingga 9 buah meja. Mereka juga mendakwa, ruangan kedai di tempat baru adalah begitu kecil jika dibandingkan dengan keadaan kedai yang mereka miliki sekarang. Pasal isu ni, aku tak boleh nak kata apalah, mungkin pihak PBT lebih arif mengapa situasi tersebut terjadi kiranya dakwaan tersebut adalah benar. Tetapi sekiranya ia benar, ia juga merupakan alasan konkrit untuk pihak PBT mengkaji balik kenapa para peniaga di Pasar Besar enggan berpindah ke tempat baru.
Bagi aku, yang hampir saban hari, menghabiskan masa pagi aku di kawasan yang aku kenali sebagai market sejak aku kecil, ia begitu meninggalkan banyak nostalgia untuk diri aku. Di sinilah aku kenali pasar malam, di mana ia merupakan tapak pasar malam sebelum ia di ubah ke kawasan Stadium Utama Negeri. Di kawasan ini jugaklah, aku akan breakfast setiap hari dengan juadah-juadah menarik selain ia juga terkenal di kalangan pelancong-pelancong luar. Kalau sebut market saja, maka akan terbayanglah kemeriahan dan keriuhan keadaan sekelilingnya.
Mungkin sekiranya perpindahan ini betul-betul terjadi, kemeriahan pengunjung ke kawasan ini tidak lagi semeriah dulu, walaupun pihak PBT meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan ini. Pada aku, aku lebih suka pihak PBT meningkatkan kemudahan infrastruktur dan mengekalkan peniaga-peniaga yang sedia ada untuk terus berniaga di kawasan ini, kerana setiap peniaga yang ada di sini merupakan ikon yang amat dikenali kerana terdapat keistimewaan pada setiap perniagaan mereka dan yang lebih penting mereka mempunyai pelanggan mereka tersendiri.
Aku berharap, pihak PBT dan Kerajaan Negeri dapatlah kiranya menyelesaikan keadaan ini dengan sebaik mungkin. Kerana yang terlibat dalam isu ini majoritinya adalah peniaga bumiputera berketurunan Melayu. Aku haraplah isu ini diselesaikan seperti ibarat kata pepatah menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak bercamuk. Yang pasti aku akan tetap merindui keadaan market untuk selamanya.
Pasar yang telah berkhidmat lebih dari 20 tahun akan dipindahkan oleh PBT ke tapak baru |
No comments:
Post a Comment